Akhbar : Bernama | 28 November 2019
Kolaborasi dengan pihak industri bantu tingkatkan kualiti TVET
KEPALA BATAS, 28 Nov -- Kerajaan yakin kolaborasi pihak industri dengan pusat latihan kemahiran dapat membantu meningkatkan kualiti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Malaysia (TVET) bagi memacu Malaysia menjadi negara maju menjelang tahun depan.
Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Mahfuz Omar berkata pembabitan dan sokongan pihak industri penting untuk meningkatkan kualiti latihan serta ilmu TVET dan dalam masa sama dapat membantu mempersiapkan graduan untuk bersaing dalam pasaran industri domestik dan global.
"Saya harap lebih banyak lagi pihak industri menjalankan kerjasama dan kolaborasi dengan pusat latihan kemahiran di seluruh negara kerana sokongan dan bantuan mereka (industri) mampu melahirkan pelajar lepasan TVET berdaya saing dan berkualiti tinggi ke arah menyahut visi negara berpendapatan tinggi serta maju menjelang 2020.
"Gabungan pelbagai industri sektor pembuatan, sektor pengeluaran, sektor mekatronik dan mikroelektronik, sektor perkhidmatan serta sektor elektrik juga membuktikan pusat latihan kemahiran TVET telah mendepani cabaran melahirkan lepasan kemahiran yang mengikut teknologi dan keperluan semasa industri," katanya kepada pemberita di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kepala Batas, di sini hari ini.
Beliau hadir untuk menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dan kerjasama pintar antara ILP Kepala Batas dan 11 wakil industri. MoU itu ditandatangani oleh Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Manusia Sutekno Ahmad Belon dengan wakil syarikat terlibat.
Mahfuz berkata kolaborasi yang dimeterai antara pihak industri dan ILP Kepala Batas itu merupakan hala tuju strategik meliputi bidang utama seperti penyejukbekuan dan penyaman udara, elektrik dan elektronik, instrumen(kawalan proses) serta telekomunikasi.
Katanya persetujuan kolaborasi itu juga adalah hasil kerjasama strategik yang bakal memberikan impak keuntungan jangka panjang terutama dalam menangani masalah pasaran pekerja mahir dalam kalangan rakyat tempatan.
"Kerajaan memandang serius kesediaan lepasan bidang TVET untuk bekerja dalam sektor industri di mana arus teknologi berubah amat pantas, maka dengan termeterai kolaborasi seperti ini, pihak Jabatan Tenaga Manusia telah berjaya menyediakan platform kepada lepasan graduan (TVET) untuk membina kerjaya bersama pihak industri," katanya.
Menurutnya perkongsian strategik bidang kepakaran, fasiliti dan kemajuan teknologi antara ILP Kepala Batas dan pihak industri itu juga mampu menjanjikan imbuhan terbaik yang mendukung hala tuju pembangunan industri negara.
"Harapan saya agar syarikat-syarikat (pihak industri) terus memberi peluang dan sokongan kepada kerajaan agar semua teknologis serta teknokrat TVET dapat membantu negara mencapai misi dan visi ke arah membangunkan sumber tenaga kerja yang mahir, berpengetahuan serta kompetitif dalam persekitaran perhubungan perusahan di industri," katanya.
Hakcipta © Institut Latihan Perindustrian Arumugam Pillai, Jalan Bukit Panchor, 14300 Nibong Tebal, Pulau Pinang.
Tel : 045956000 | Faks : 04-5956006 / 045956098 / 045956023
Laman Web : www.ilpapnt.gov.my / E-mail : maklum@jtm.gov.my
Waktu Pejabat : 8.00 pagi - 5 petang
Operasi Latihan (Kursus Jangka Pendek) : 8.00 pagi - 11 malam
Paparan terbaik menggunakan pelayar web Chrome dengan resolusi kurang atau lebih 1024 x 768.