Latihan Industri
Membina pengalaman, memperkukuh kemahiran dan mempersiapkan pelajar menghadapi alam pekerjaan sebenar.
Objektif Latihan Industri
Pendedahan Alam Pekerjaan
Memberi pendedahan kepada para pelajar berhubung dengan suasana pekerjaan sebenar, etika kerja serta teknologi terkini yang diguna pakai oleh pihak industri.
Mengaplikasikan Kemahiran
Membolehkan semua kemahiran yang telah diperoleh oleh para pelajar digunakan dalam situasi pekerjaan sebenar, di samping menimba pengalaman baharu di industri.
Penilaian Industri
Memberi peluang kepada pihak industri serta Panel Jawatankuasa Penasihat Teknikal ILJTM untuk menilai tahap dan kualiti latihan yang dijalankan.
Hubungan Dengan Industri
Memperkenalkan ILJTM serta produk dan kepakaran ILJTM kepada sektor industri yang berkaitan.
Pengalaman Profesional
Membolehkan pelajar menimba pengalaman dan pengetahuan melalui penglibatan secara langsung dalam pelbagai skop pekerjaan seperti perancangan, reka bentuk, pembinaan dan pentadbiran projek.
Laporan Teknikal
Memberi pendedahan serta pengalaman kepada para pelajar untuk menulis dan menyediakan laporan teknikal yang lengkap serta teratur.
Kelayakan Menjalani Latihan Industri
Telah menjalani latihan sepenuh masa yang merangkumi subjek teori dan amali di Institusi Latihan Jabatan Tenaga Manusia dengan jayanya.
Bebas daripada tindakan disiplin bagi kesalahan berat oleh Jawatankuasa Disiplin ILJTM.
Jumlah kehadiran sewaktu latihan sepenuh masa di Institusi Latihan Jabatan Tenaga Manusia mestilah mencapai sekurang-kurangnya 90% daripada jumlah kehadiran sebenar.
Penempatan & Tempoh Latihan
Latihan Sepenuh Masa
Pelajar perlu melengkapkan latihan teori dan amali di institusi dengan jayanya.
Taklimat Latihan Industri
Pegawai daripada Bahagian Pengurusan Pelajar & Latihan (BPPL) atau Community Employment Support Service (CESS) akan mengadakan taklimat kepada pelajar yang akan menjalani Latihan Industri.
Penempatan Industri
Penempatan melibatkan sektor awam dan swasta seperti jabatan kerajaan, badan berkanun serta firma dan organisasi industri yang berkaitan.
Tempoh Latihan
Latihan Industri adalah wajib bagi semua pelajar dan berlangsung selama 3 atau 6 bulan, bergantung kepada kursus.
Kehadiran Pelajar
Pelajar hendaklah sentiasa mematuhi peraturan hari kerja organisasi tempat latihan.
Kelulusan Cuti
Kelulusan cuti adalah bergantung kepada majikan di tempat pelajar menjalani latihan.
Pertukaran Tempat Latihan
Pelajar tidak dibenarkan bertukar atau berpindah tempat latihan kecuali mendapat kelulusan daripada pihak Bahagian Pengurusan Pelajar & Latihan ILJTM.
Masalah Semasa Latihan
Sebarang masalah hendaklah dikemukakan kepada Pegawai yang bertugas di Bahagian Pengurusan Pelajar & Latihan.
Rekod Kehadiran
Rekod kehadiran hendaklah dihantar ke BPPL institut setiap bulan selepas pengesahan majikan pada minggu pertama bulan berikutnya.
Pelajar yang gagal mencapai kehadiran sekurang-kurangnya 90% dianggap GAGAL Latihan Industri.
Tatatertib Semasa Latihan Industri
Pelajar hendaklah berkelakuan baik, bersopan santun, berpakaian kemas dan sesuai serta menunjukkan keperibadian yang baik kepada kakitangan organisasi.
Pelajar mestilah mematuhi segala peraturan organisasi berkenaan dan dinasihatkan supaya tidak melibatkan diri dalam kegiatan yang dilarang oleh pihak organisasi.
Sebarang perkara atau masalah berkaitan organisasi hendaklah dirujuk kepada pihak berkuasa Institusi Latihan Jabatan Tenaga Manusia.
Insurans & Rawatan Perubatan
Perlindungan Insurans
Semua pelajar mempunyai insurans secara berkumpulan berdasarkan Group Personal Accident Takaful (GPAT).
Perlindungan Kecederaan
Perlindungan meliputi kecederaan tubuh yang mungkin dialami oleh pelajar semasa menjalani Latihan Industri, tertakluk kepada syarat sijil GPAT.
Rawatan Perubatan
Pelajar yang memerlukan rawatan perubatan boleh mendapatkan rawatan di klinik atau hospital kerajaan.
Lawatan Pegawai Penilai Latihan Industri
Bagi memastikan tujuan dan matlamat Latihan Industri berjaya dicapai, pemantauan secara berjadual akan dijalankan oleh Pegawai Penilai Latihan Industri (PPLI).
Bimbingan & Nasihat
Memberi bimbingan dan khidmat nasihat kepada pelajar sepanjang menjalani latihan.
Penyelesaian Masalah
Berbincang dengan pelajar dan majikan sekiranya timbul masalah semasa latihan.
Hubungan Industri
Memupuk persefahaman dan hubungan baik antara institusi dengan organisasi atau firma yang terlibat.
Tugas Pegawai Penilai Latihan Industri
Melawat pelajar di tempat latihan dan menyediakan laporan bertulis mengenai lawatan.
Mengenal pasti dan menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh pelajar.
Menyelaras, membimbing dan memberi panduan kepada pelajar yang sedang menjalani Latihan Industri.
Menyemak dan menandatangani Buku Log atau buku catatan berkaitan.
Mengadakan perbincangan dengan penyelia di tempat latihan berkaitan program latihan.
Menyediakan laporan penambahbaikan dalam sistem Latihan Industri.
Melakukan Penilaian Kemajuan Buku Log semasa lawatan LI (BK-T11-05).
Penilaian Kemajuan Buku Log
10% lawatan pertama
15% lawatan kedua
5% lawatan kedua
Buku Log Pelajar
Rekod Kerja Harian
Buku Log merupakan buku catatan kerja harian pelajar sepanjang menjalani Latihan Industri.
Tujuan Buku Log
Catatan di dalam Buku Log membolehkan Pegawai Penilai LI mengetahui serta membuat penilaian terhadap kerja yang dilakukan oleh pelajar.
Pengesahan Mingguan
Buku Log hendaklah disemak dan ditandatangani oleh penyelia organisasi secara mingguan.
Kandungan Buku Log
Antara kandungan termasuk pengalaman kerja harian, maklumat perbincangan dengan penyelia, komen, data teknikal, jadual, bahan rujukan dan maklumat berkaitan organisasi.
Penghantaran
Buku Log yang lengkap dan disahkan oleh majikan hendaklah dihantar dalam tempoh 1 minggu selepas tamat Latihan Industri kepada BPPL institut.
Penamatan Latihan Industri
Pihak pengurusan institut boleh menamatkan Latihan Industri seseorang pelajar tertakluk kepada keadaan berikut:
Atas sebab-sebab kesihatan, pelajar boleh dibenarkan menamatkan latihan dengan sokongan Surat Perakuan Doktor daripada mana-mana Hospital Kerajaan.
Pihak berkuasa institut boleh menamatkan latihan seseorang pelajar yang tidak menunjukkan minat dan kemajuan dalam latihan.
Pelajar yang ditamatkan latihan dikehendaki membayar ganti rugi mengikut jumlah wang yang telah dibelanjakan ke atas pelajar tersebut.
Pemerhatian & Laporan Penilaian
Prestasi pelajar yang menjalani Latihan Industri dinilai berdasarkan maklum balas pelajar serta penyelia firma atau organisasi.
Laporan Pegawai BPPL
Penilaian meliputi kefahaman dalam menerima tugas dan arahan, komitmen, tahap disiplin serta kualiti kerja yang diberikan.
Laporan Penyelia Organisasi
Penilaian meliputi prestasi kerja harian, mutu hasil kerja, tahap disiplin serta pembinaan sahsiah diri.
Buku Log
Penilaian dibuat berdasarkan catatan kerja harian, ilustrasi berkaitan serta komen mingguan oleh penyelaras firma atau organisasi.
Membina Pengalaman, Memperkasa Masa Hadapan
Latihan Industri menjadi platform kepada pelajar untuk mengaplikasikan kemahiran dan membina keyakinan sebelum melangkah ke alam pekerjaan.






