
25 Februari 2026 โ Perhimpunan pelajar bagi bulan Februari 2026 bersama Timbalan Pengarah Latihan, En. Mustafa Bin Ibrahim telah berjaya dilaksanakan pada hari Rabu yang lalu di ADTEC JTM Kampus Nibong Tebal.
Perhimpunan kali ini dianjurkan oleh Bengkel Teknologi Percetakan Industri, Diploma Teknologi Percetakan dan Teknologi Automotif Servis, dengan para pelajar daripada ketiga-tiga kursus mempersembahkan aktiviti bertemakan suasana bulan Ramadan sebagai tanda penghormatan terhadap bulan yang mulia.
Dalam sesi perkongsian ilmu, Ketua Bahagian Teknologi Percetakan Industri, En. Mohd Firdaus Bin Asrani menyampaikan topik keselamatan (Hazard), manakala Pegawai Aset Kampus, Cik Zakira Imana Binti Mat Daud menekankan kepentingan menjaga aset kampus dan melaporkan sebarang kerosakan segera bagi tujuan penyelenggaraan.
En. Mustafa Bin Ibrahim turut memberikan amanat kepada pelajar untuk mematuhi peraturan keluar masuk kampus serta merancang perjalanan pulang ke kampung halaman sempena Cuti Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba. Para pelajar juga diingatkan agar turut mengambil bahagian dalam program keagamaan dan kerohanian yang dianjurkan oleh pihak kampus.
Selain itu, sesi penyerahan sijil dan hadiah turut diadakan bagi menghargai pelajar yang aktif menyertai pelbagai aktiviti sukarelawan sepanjang bulan Januari dan Februari.
Diharapkan perkongsian ilmu, nasihat serta pengiktirafan ini dapat meningkatkan motivasi, disiplin dan kesedaran pelajar dalam meneruskan pengajian serta mengaplikasikan ilmu dan nilai positif di kampus.









