Lawatan Kerja Ketua Pengarah JTM

Institut Latihan Perindustrian Arumugam Pillai Nibong Tebal (ILP APNT) berbesar hati menerima kunjungan rasmi Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Manusia (JTM), YBrs. Datuk Rospiagos bin Taha, sekitar jam 2.00 petang. Kunjungan ini turut disertai oleh barisan pengurusan tertinggi JTM termasuk Timbalan Ketua Pengarah, Tuan Ts. Kamarulzaman bin Hj. Md Ali, Pengarah Bahagian Perancangan & Penyelidikan, Puan Hajah Ts. Junnaina binti Hussin Chua serta Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perancangan & Penyelidikan, YM Ts. Raja Nur Syaheed bin Raja Mohd Yazit.

Lawatan dimulakan dengan sesi fotografi di lobi ILP APNT, diikuti dengan pembentangan di Bilik Mesyuarat Utama bagi memperkenalkan profil dan pencapaian institut. Beberapa perkara penting turut dibincangkan, termasuk cabaran semasa latihan, inisiatif strategik institut, serta perancangan masa depan selaras dengan hala tuju Jabatan.

Menyerikan lagi kunjungan ini ialah Majlis Penyampaian Sijil Program Perantis TVET Madani dan Sijil Kompetensi Operasi Dron (SKOD) yang diadakan di Auditorium ILP APNT.

Program Perantis TVET Madani merupakan kerjasama strategik antara ILP APNT dan SMK Taman Mutiara, melibatkan 18 orang pelajar sekolah tersebut dalam bidang Teknologi Automotif selama 7 bulan. Latihan yang berlangsung setiap hujung minggu ini dikendalikan oleh pengajar ILP APNT, En. Nor Hatzari bin Hassan.

Dalam majlis sama, seramai 11 orang pengajar ILP APNT turut menerima Sijil Kompetensi Operasi Dron (SKOD) selepas berjaya menamatkan kursus yang berlangsung pada 4–6 Jun 2024. Kursus tersebut turut melibatkan penyertaan daripada pengajar ILP Perai, Jitra, Kangar dan Ipoh, serta dikendalikan oleh pengajar dari ILP Mersing selaku penyelaras Dron Hub ILJTM.

Lawatan kerja Ketua Pengarah JTM diteruskan dengan kunjungan ke bengkel-bengkel latihan ILP APNT, di mana para Ketua Bahagian dan Pengajar memberikan penerangan terperinci berkaitan kemudahan dan latihan kemahiran yang ditawarkan.

Menariknya, YBrs. Datuk Rospiagos turut berpeluang menghasilkan sendiri buku nota dan cenderahati khas di Bengkel Percetakan dan Bengkel Teknologi Percetakan Digital. Di Bengkel Teknologi Multimedia Interaktif, sesi bergambar turut diadakan bersama delegasi lawatan.

ILP APNT amat berbesar hati menerima kunjungan ini dan berharap agar lawatan tersebut dapat memperkukuh hubungan strategik antara institut dan JTM, serta memberi suntikan semangat kepada semua warga kerja untuk terus cemerlang dalam menyampaikan latihan kemahiran yang berkualiti.

Merdu bertingkah alunan suara,
Kadang tak sedar tersilap kata;
Andai terlanjur patah bicara,
Serendah hati kemaafan dipinta.
 
Banyak keluk ke penarik,
Keluk tumbuh pohon kuini;
Nan elok bawalah balik,
Nan tak elok tinggallah di sini.
 
Di atas dahan burung tempua,
Melihat rusa tepi perigi;
Salam perpisahan untuk semua,
Dilain masa bersua lagi.

 

“𝙀𝒎𝙥𝒐𝙬𝒆𝙧𝒊𝙣𝒈 𝑺𝙠𝒊𝙡𝒍𝙨, 𝑰𝙜𝒏𝙞𝒕𝙞𝒏𝙜 𝙁𝒖𝙩𝒖𝙧𝒆𝙨”
“𝑴𝙚𝒎𝙥𝒆𝙧𝒌𝙖𝒔𝙖 𝙆𝒆𝙢𝒂𝙝𝒊𝙧𝒂𝙣, 𝑴𝙚𝒏𝙮𝒆𝙢𝒂𝙧𝒂𝙠𝒌𝙖𝒏 𝑴𝙖𝒔𝙖 𝙃𝒂𝙙𝒂𝙥𝒂𝙣”