26 September 2025 (Jumaat) : Warga ADTEC JTM Kampus AP Nibong Tebal telah bersama-sama menjayakan Hari Cuci Malaysia 2025 dengan aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan kampus. Program ini diadakan bagi menyahut seruan kerajaan dalam meningkatkan kesedaran serta membudayakan amalan kebersihan dalam kalangan masyarakat.
Hari Cuci Malaysia merupakan inisiatif nasional yang disambut pada setiap tahun bermula 2023 di seluruh negara. Penganjurannya bertujuan menggalakkan orang ramai untuk mengutamakan kebersihan persekitaran, memupuk semangat sukarela, serta memperkukuh rasa tanggungjawab kolektif terhadap kelestarian alam sekitar. Ia turut menjadi platform penyatuan pelbagai lapisan masyarakat untuk bersama-sama berganding bahu mewujudkan persekitaran yang lebih bersih, sihat dan lestari.
Sepanjang program di kampus, pelbagai aktiviti pembersihan telah dilaksanakan termasuk membersihkan kawasan bilik kuliah, bengkel, persekitaran pejabat serta kawasan lapang. Usaha ini bukan sahaja menyemai nilai murni kebersihan dalam diri warga kampus, malah turut memperkukuh semangat kerjasama dan perpaduan antara pelajar serta kakitangan.
ADTEC JTM Kampus AP Nibong Tebal percaya, usaha kecil yang dilaksanakan melalui program sebegini mampu memberikan kesan besar terhadap kelestarian alam sekitar sekiranya diamalkan secara berterusan. Semoga budaya menjaga kebersihan dapat terus dipupuk demi kesejahteraan bersama.