
28 Januari 2026 : ADTEC JTM Kampus Nibong Tebal telah melaksanakan Program BriskWalk 10,000 Langkah iaitu aktiviti berjalan pantas yang diadakan pada hari Rabu setiap hujung bulan, selaras dengan pelaksanaan Hari Tanpa Karbon yang berlangsung pada setiap hari Rabu.
Program ini melibatkan penyertaan semua kakitangan dan pelajar dengan matlamat menggalakkan amalan gaya hidup sihat dan aktif di samping meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan penjagaan alam sekitar melalui amalan rendah karbon.
Menerusi aktiviti berjalan pantas di sekitar kawasan kampus, para peserta bukan sahaja berpeluang meningkatkan tahap kecergasan fizikal, malah dapat mengeratkan hubungan silaturahim serta menyemai semangat kebersamaan dalam kalangan warga ADTEC JTM Kampus Nibong Tebal.
Penganjuran program ini telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan dan memberi impak positif ke arah pembentukan persekitaran kampus yang hijau, sihat dan lestari.
Pihak penganjur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua warga kerja dan pelajar yang telah memberikan komitmen dan menjayakan program ini. Aktiviti seumpama ini akan diteruskan pada setiap hujung bulan sebagai usaha berterusan membudayakan gaya hidup sihat dan amalan mesra alam dalam kalangan warga kampus.









