Seramai 136 pelajar baharu telah melapor diri seawal jam 8.30 pagi bagi memulakan langkah mereka dalam dunia latihan teknikal dan vokasional. Proses pendaftaran berjalan lancar dengan bantuan dan kerjasama padu daripada pelajar, ibu bapa serta seluruh petugas institut.
Ketibaan pelajar-pelajar baharu ini disambut mesra oleh barisan pegawai, pensyarah dan fasilitator yang bersedia membantu sepanjang urusan kemasukan. Para pelajar turut dibekalkan dengan maklumat penting berkaitan program pengajian, kemudahan kampus, serta keperluan asas sebagai persediaan memulakan kehidupan sebagai pelatih ADTEC.
Bermula hari yang sama, para pelajar akan mengikuti Minggu Suai Kenal (MSK) sehingga 14 Julai 2025. Program ini bertujuan membantu mereka menyesuaikan diri dengan suasana institut, membina semangat berpasukan dan memahami struktur serta budaya ADTEC.
Pihak institut merakamkan ucapan tahniah dan selamat datang kepada semua pelajar baharu. Diharapkan agar kehadiran mereka akan menyemarakkan lagi semangat pembelajaran dan pencapaian cemerlang sepanjang tempoh pengajian di sini.