
Kursus intensif yang diadakan di institut latihan tersebut bertujuan memperkasakan kemahiran peserta dalam penghasilan kandungan video digital yang relevan dengan keperluan semasa media sosial.
Sepanjang program, peserta telah didedahkan kepada pelbagai aspek penting dalam bidang videografi, antaranya teknik asas produksi video, penulisan skrip dan storyboard, pengendalian kamera serta elemen teknikal seperti pencahayaan dan audio. Peserta turut mempelajari kemahiran penyuntingan video menggunakan perisian popular seperti CapCut, VN dan Adobe Premiere.
Selain itu, strategi penerbitan kandungan untuk platform seperti YouTube, Instagram dan TikTok turut ditekankan bagi membantu peserta memahami keperluan audiens digital masa kini.
Kursus ini dikendalikan oleh dua tenaga pengajar berpengalaman, En. Mohd Nawawi bin Muhamad Tahir dan En. Shamsul bin Yahya yang masing-masing mempunyai latar belakang kukuh dalam bidang produksi dan penyuntingan video.
Pihak institut meluahkan rasa bangga dapat menjadi tuan rumah kepada program yang mampu membina kemahiran kreatif dan digital dalam kalangan peserta. Program ini juga dilihat selari dengan aspirasi negara dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi serta meningkatkan kebolehpasaran pencari kerja di era ekonomi digital.
PERKESO turut dirakamkan penghargaan atas komitmen berterusan dalam menyediakan peluang latihan kepada golongan pencari kerja, terutamanya dalam bidang yang semakin mendapat permintaan tinggi seperti kandungan digital.
Kesemua peserta yang menamatkan kursus ini diseru agar terus berkarya dan menyampaikan mesej positif melalui medium video, sekaligus memberi impak bermanfaat kepada komuniti dan masyarakat.