
Seramai empat orang peserta yang ditaja oleh PERKESO melalui dana Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) telah berjaya menyertai kursus intensif Teknik Penggambaran untuk Media Sosial atau Camerawork for Social Media yang berlangsung pada 13 hingga 15 Februari 2026.
Sepanjang tiga hari kursus, para peserta dibimbing sepenuhnya oleh Encik Shamsul bin Yahya, Pengajar Kanan Bidang Multimedia Interaktif dari ADTEC JTM Kampus Nibong Tebal. Kursus ini bukan sahaja memberi teori di bilik kuliah, malah melibatkan sesi praktikal di lokasi sebenar, termasuk lawatan ke Bukit Bendera untuk latihan penggambaran.
Bertemankan keindahan alam semula jadi dan udara segar, para peserta berpeluang mengasah teknik penciptaan kandungan visual berkualiti, dengan matlamat meningkatkan mutu penyampaian maklumat PERKESO kepada masyarakat.
Pihak penganjur mengucapkan syabas kepada semua peserta dan berharap ilmu yang diperoleh dapat diaplikasikan dalam menghasilkan konten media sosial yang lebih mantap dan berimpak tinggi.









