
๐๐๐๐๐๐๐ ๐๐๐๐๐๐ ๐๐๐๐๐๐ ๐๐๐๐๐๐: ๐๐๐๐๐๐๐๐๐๐ ๐๐๐๐๐๐๐๐ ๐ ๐ ๐๐๐ & ๐ ๐ ๐๐๐ (๐๐๐๐ ๐๐๐ ๐๐๐๐๐ ๐๐๐๐๐๐)- ๐๐๐๐ ๐
Unit CESS ADTEC JTM Kampus Nibong Tebal dengan bangganya mengumumkan penutupan rasmi Kursus Pendawaian Elektrik 1 Fasa & 3 Fasa (Siri 1) yang telah berlangsung selama empat minggu melibatkan sesi latihan pada hujung minggu. Kursus intensif selama lapan hari ini berjaya menamatkan latihan dengan penyertaan seramai 15 orang peserta yang menunjukkan komitmen tinggi sepanjang program berlangsung.
Program ini merupakan salah satu inisiatif Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang (MPBPP) di bawah Program Pemerkasaan dan Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang Tahun 2025. Keseluruhan kos pelaksanaan kursus ditaja sepenuhnya oleh agensi yang terlibat.
Sepanjang tempoh latihan, para peserta mengikuti pembelajaran secara berstruktur bermula daripada peringkat asas sehingga mencapai tahap kompeten. Antara modul yang dipelajari termasuk asas pendawaian satu fasa, aspek keselamatan serta pematuhan kepada peraturan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Tenaga.
Peserta turut didedahkan dengan latihan amali melibatkan lukisan litar dan kerja pendawaian bagi litar pencahayaan serta litar kuasa (soket) satu fasa. Selain itu, mereka mempelajari pendawaian lanjutan termasuk pendawaian bangunan dan kawalan lampu pelbagai.
Bagi modul pendawaian tiga fasa pula, peserta diberi pendedahan kepada aplikasi industri, kaedah pengujian serta pendawaian motor tiga fasa bersama litar kawalan. Kursus ini diakhiri dengan sesi ujian, pemeriksaan dan pendokumentasian bagi memastikan setiap pepasangan yang dilaksanakan adalah selamat serta mematuhi piawaian yang ditetapkan.
Kejayaan penganjuran kursus ini adalah hasil dedikasi barisan tenaga pengajar pakar dari Bahagian Teknologi Elektrik yang telah memberikan bimbingan teknikal dan perkongsian ilmu secara menyeluruh kepada semua peserta. Program seumpama ini diharap dapat melahirkan lebih ramai tenaga mahir dalam bidang elektrik sekali gus memenuhi keperluan industri semasa.









