Sijil Teknologi Komputer (Rangkaian) Lawatan Sambil Kerja Untuk membolehkan pelajar-pelajar mendapatkan pendedahan teknologi baru yang terdapat di industri supaya sesuai dengan kemahiran yang diperolehi dari institut, semua pelajar diwajibkan untuk menjalani latihan sambil kerja di industri selama tiga bulan sebelum menamatkan kursus di samping memberi keyakinan terhadap bidang kerjaya mereka.
Ini membolehkan pelajar-pelajar memahami lebih mendalam dan mahir dari aspek amali dan teori yang berkaitan agar dapat memberi keyakinan dan berkompeten terhadap bidang kemahiran yang diceburi. Ianya juga dapat memberi peluang kepada pelajar untuk mempraktikkan latihan yang diterima semasa di bengkel di dalam suasana pekerjaan sebenar semasa latihan di loji, dan juga apabila bekerja nanti.
Untuk keselesaan, para majikan menyediakan pelbagai aktiviti-aktiviti mengikut piawai kemahiran yang disediakan untuk membantu memajukan kemahiran pelajar-pelajar dengan lebih sistematik.
Untuk menilai kemajuan latihan, pelajar-pelajar dikehendaki mencatatkan kerja harian mereka pada buku log. Pegawai-pegawai penilai latihan bertanggungjawab memeriksa buku log tersebut dari semasa ke semasa.
Peluang Pekerjaan
Sejajar dengan perkembangan industri IT di negara kita, permintaan untuk pakar dalam bidang IT dan komputer terutamanya Juruteknik Rangkaian adalah sangat menggalakkan dan dijangka meningkat pada masa hadapan. Keadaan ini disebabkan kekurangan pakar-pakar dalam bidang sistem rangkaian di sektor-sektor industri tempatan yang mana kebanyakan industri telah beralih kepada IT untuk menguruskan kerja-kerja harian dan secara tidak langsung memerlukan pakar untuk mengendali dan menguruskan sistem IT mereka. Peluang pekerjaan terbuka luas dalam bidang industri yang mana kebanyakan kilang-kilang dan organisasi masih kekurangan tenaga mahir dalam bidang IT khususnya sistem rangkaian. Dalam sektor industri, skop pekerjaannya adalah juruteknik yang meliputi kerja-kerja pemasangan, penyelenggaraan, dan pengendalian sistem rangkaian.
Juruteknik rangkaian yang berkebolehan dan berpengalaman berpeluang menjadi penyelia untuk menguruskan sistem rangkaian dalam industri. Mereka yang mempunyai sijil kelayakan, modal dan kemahiran juga boleh memulakan perniagaan sendiri dengan membuka syarikat IT yang mengkhususkan kepada bidang rangkaian.
Peluang Melanjutkan Pelajaran
Setelah menamatkan latihan di Institut Latihan Perindustrian (ILP), pelajar-pelajar berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi iaitu di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) yang menawarkan kursus Diploma Teknologi Komputer (Rangkaian) dan juga di Universiti Kuala Lumpur(UNIKL) yang menawarkan kursus pada peringkat Diploma dan Ijazah.
|